26 Mac 2016 - 15:13
'Jabatan agama sukar dakwa pengikut Syiah'

Halangan pembuktian merupakan antara kekangan jabatan agama dalam melakukan pendakwaan terhadap pengikut fahaman Syiah di mahkamah.

Halangan pembuktian merupakan antara kekangan jabatan agama dalam melakukan pendakwaan terhadap pengikut fahaman Syiah di mahkamah.

Timbalan Mufti Perak Ustaz Zamri Hashim berkata perkara sedemikian tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan dakwaan hanya boleh dilakukan menerusi pengakuan individu itu sendiri selain memerlukan saksi bagi menguatkan pendakwaan.

"Kita sukar menyelesaikan sebab ia perlu pembuktian nyata dalam mahkamah. Kalau kita tangkap seorang penganut fahaman Syiah, ia perlu ada buktinya, sedangkan mereka ini mengamalkan Taqiyah atau berpura-pura," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi ahli panel dalam forum mengenai 'Fahaman Syiah dan Gerakan Kristianisasi di Malaysia' di Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Perak ini.

Turut hadir Dekan Pusat Bahasa dan Pengajian Asas Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) Kuala Kangsar Prof Dr Jamil Hashim selaku ahli panel kedua dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong Datuk Mohd Azhar Jamaluddin merangkap Pengerusi Yayasan Pendidikan Teluk Intan.

Forum anjuran Yayasan Pendidikan Teluk Intan itu dihadiri lebih 100 peserta dari badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin setempat, agensi kerajaan serta orang awam.

Bagi mengatasi permasalahan tersebut daripada terus menular, Zamri berkata pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) lebih menumpukan kepada memberi kefahaman berkaitan isu tersebut kepada masyarakat.

-Bernama